SHAH ALAM, 6 November- Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi kedua dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi menggugurkan dua pertuduhan menghasut terhadapnya berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada Julai tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya memohon tarikh sebutan baharu bagi keputusan berhubung representasi tersebut.
Hakim Aslam kemudiannya menetapkan 10 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula bagi prosiding keputusan representasi itu.
Pada 18 Julai 2023, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada pukul 11.00 malam, 11 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.