fb fb fb fb fb

Remaja maut kereta dirempuh lori di Pontian

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Simpang Renggam menghala ke Benut hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

PONTIAN, 31 Mac- Seorang remaja lelaki maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer (KM) 11, Jalan Benut/Simpang Renggam, Johor pada Sabtu.

Mangsa, Muhammad Hayqal Mohd Asdi Jastani, 14, duduk di belakang kereta yang dipandu ibunya, Jalilah Jalil, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Sementara ibunya pula cedera parah di kaki dan tangan, manakala adiknya, Muhammad Naim, 12, cedera parah di tangan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 8.40 pagi.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Simpang Renggam menghala ke Benut hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Situasi itu menyebabkan lori tersebut bertembung dengan kereta yang datang dari arah Benut menghala ke Simpang Renggam hingga mengakibatkan seorang penumpang belakang kereta berkenaan cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mohammad Shofee berkata kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Pontian bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Beliau turut memaklumkan, pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

ZEHRA BINTI ZAMBRI