fb fb fb fb fb

Remaja lelaki maut terpelanting, pembonceng cedera parah

Seorang remaja lelaki berusia 17  tahun maut manakala pembonceng wanita berumur 15 tahun cedera parah di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai

BUTTERWORTH, 10 Mac- Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut manakala pembonceng wanita berumur 15 tahun cedera parah apabila motosikal dipandu terbabas melanggar pembahagi jalan.

Kejadian berlaku di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai kira-kira pukul 4.38 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Polis (ACP) Helmi Aris berkata, siasatan awal kejadian mendapati kedua-dua mangsa jatuh dan terpelanting ke laluan bertentangan.

"Kemudian, sebuah motokar datang dari arah Perai menuju ke Pulau melanggar mangsa dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian serta mengakibatkan pembonceng cedera parah," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu untuk tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPT menerusi talian 04-530 1342.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI