LABUAN, 29 Mei- Seorang remaja lelaki lemas, manakala rakannya selamat selepas dihanyutkan arus ketika memancing di Pantai Batu Manikar, di sini petang semalam.
Kejadian melibatkan Muhammad Sharulnizam Mat Sidon, 18, dari Kampung Merinding dan rakannya, Suhairi Rosli, 18, dari Kampung Lubok Temiang berlaku kira-kira 5.36 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Layangan, Huzyman Malikin berkata, mayat Muhamad Sharulnizam ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 7.40 malam, tidak jauh dari lokasi remaja itu memancing.
Mayat dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan, BBP Rancha-Rancha dan BBP Layangan Sentral itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.32 malam.