fb fb fb fb fb

Remaja dikhuatiri lemas selepas hilang di tali air

Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan sejauh lebih satu kilometer daripada kawasan mangsa dipercayai hilang dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

KUANTAN, 15 Disember - Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai hilang ketika mandi bersama enam lagi rakannya di kawasan tali air di Lorong Indera Sempurna 2, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pada pukul 3.50 petang itu, mangsa, Muhammad Amirul Haikal Che Jaapa, 14 tahun dipercayai dihanyut arus deras sebelum disedari rakan-rakannya yang kemudian meminta bantuan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan sejauh lebih satu kilometer daripada kawasan mangsa dipercayai hilang dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
 
"Setakat ini pencarian sejauh satu kilometer telah kita buat dan belum menemui mangsa," katanya.
 
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali berkata seorang pegawai dan 10 anggota bersama tiga jentera telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Kuantan turut terlibat dalam misi pencarian tersebut.

"Kita mohon bantuan PPDA dari BBP Kuantan untuk melakukan pencarian secara menyelam dan setelah 1.5 kilometer kita lakukan pencarian kita tidak mempunyai petanda lagi untuk pencarian ini dan kita akan usahakan dari semasa ke semasa," katanya.

Tambah Mohd Hilmi, operasi pencarian akan disambung semula esok dengan tumpuan terarah ke kawasan permukaan dan dasar sedalam 2.8 meter.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN