
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Beberapa reformasi utama dilakukan termasuk memperkenalkan jawatankuasa dalaman bagi menasihati Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam hal perolehan dan kewangan, selaras syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali gus memastikan keputusan tidak lagi dibuat secara individu.
- Penubuhan jawatankuasa dalaman untuk menasihati Datuk Bandar mengenai perolehan dan kewangan bagi elakkan keputusan dibuat seorang diri.
- Pengehadkan sumbangan Datuk Bandar kepada RM3,000 tanpa kelulusan jawatankuasa, dengan penilaian untuk sumbangan lebih besar.
- Romakan Jawatankuasa Audit Dalaman; pengerusi dari Ahli Lembaga Penasihat kerajaan dan penambahan wakil profesional luar.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata perkara itu bagi memperkukuh tadbir urus dan ketelusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sebelum ini, sumbangan oleh Datuk Bandar tidak mempunyai had, iaitu sesiapa sahaja boleh memberi sumbangan sebanyak mana yang mereka sukai. Namun, buat masa sekarang, kami telah mengehadkan jumlah sumbangan kepada RM3,000 ke bawah.
“Datuk Bandar masih boleh memberi sumbangan melebihi jumlah itu, tetapi jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menilai sumbangan tersebut dan memberi nasihat kepada Datuk Bandar, bagi memastikan sumbangan yang diberikan adalah bersesuaian dengan kadar yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengurangan Fi Lesen Gimnasium di ibu negara yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, struktur Jawatankuasa Audit Dalaman turut dirombak bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
Sebelum ini, mesyuarat audit dalaman dipengerusikan oleh Datuk Bandar sendiri. Kini, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Penasihat (ALP) daripada sektor kerajaan, selain penambahan dua lagi ahli ALP termasuk wakil profesional luar.
“Saya tidak lagi mempengerusikan jawatankuasa audit. Saya akan menerima laporan dan maklum balas daripada jawatankuasa tersebut untuk tindakan penambahbaikan,” katanya.
DBKL turut diberi tempoh enam bulan untuk melaksanakan penambahbaikan prosedur yang digariskan SPRM, termasuk usaha mendapatkan pensijilan pengurusan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap tatacara kewangan dan pengurusan wang awam.