fb fb fb fb fb

Rebut peluang mohon Insentif CEMI

Teo Nie Ching (tengah) mendengar luahan pengiat seni dari daerah ini ketika mengadakan sesi perbincangan sewaktu program Kembara Ask Me Anything hari ini.

SANDAKAN, 16 Jun - 37 permohonan Insentif Konsert dan Acara (CEMI) diterima setakat 12 Jun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata permohonan insentif yang dilaksana sejak 15 Mei lalu masih dibuka hingga 10 Julai depan.

Justeru, beliau berharap lebih ramai pemain industri kreatif di Sabah dan Sarawak mengambil peluang memohon insentif itu sebelum permohonan ditutup.

"Jadi kita memang buat jelajah seperti datang ke Sabah dan Sarawak untuk menggalakkan lebih banyak permohonan memandangkan muzik kedua-dua negeri ini cukup unik dan ada keistimewaan tersendiri. Insentif CEMI dapat memberi manfaat kepada industri muzik di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika program Kembara ‘Ask Me Anything' Program Pembangunan Industri bagi edisi Sabah dan Sarawak di sini.

Pada majlis berkenaan, Teo turut menyampaikan dana sebanyak RM80,000 kepada Persatuan Seni Kreatif dan Pemuzik Tempatan Sandakan bagi penganjuran program Sandakan
Nature City Loud Festival 2025.

Selain insentif CEMI, Teo juga memaklumkan permohonan Dana Kandungan Kreatif masih dibuka.

Dana Persembahan Muzik dibuka hingga 30 Jun depan manakala Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa serta Dana Pemasaran dan Promosi Domestik hingga 1 Disember 2025.

NORAINI BINTI WAHIB