KUALA LUMPUR, 26 Julai - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui Rapid KL akan melanjutkan operasi stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil pada Sabtu sehingga 1 pagi, Ahad bagi memenuhi keperluan operasi di sekitar Kompleks Sukan Bukit Jalil.
Prasarana memaklumkan semua stesen sambungan turut dilanjutkan bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.
“Pengguna diminta menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan. Sila guna kad Touch ‘n Go bagi kelancaran perjalanan,” menurut Prasarana menerusi kenyataan.
Terdapat tiga acara menarik akan berlangsung di sekitar Kompleks Sukan Bukit Jalil, pada Sabtu iaitu Konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur dan Konsert Rianie Yang 2024 di Axiata Arena.
Selain itu, program Nihon Matsuri 2024 yang bermula sejak Khamis hingga Ahad ini turut diadakan di tempat parkir B, Stadium Nasional Bukit Jalil.