fb fb fb fb fb

Rapid bus perkenal lorong bas di Jalan Klang Lama bermula 15 Ogos ini

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 10 Ogos - Projek percubaan lorong bas Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), di Jalan Klang Lama dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilancarkan bermula 15 Ogos ini.

Rapid Bus dalam kenyataan berkata, lorong bas sepanjang 6.37 kilometer itu akan bermula dari Jalan Puchong hingga Jalan Klang Lama, berhampiran Jalan Halimahton.

Ia merupakan projek lorong bas ketiga Rapid KL.

Katanya projek itu dijangka dapat membantu mengurangkan masa perjalanan serta kesesakan lalu lintas di kawasan terlibat dan memberi penjimatan masa perjalanan hingga 10 minit dari Kinrara ke arah pusat banda raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata semenjak pelaksanaan lorong bas di koridor Jalan Ampang dan Jalan Genting Kelang pada 2023, pihak Rapid Bus telah mencatatkan peningkatan penumpang masing-masing sebanyak 27 peratus dan 42 peratus.

"Kami berharap manfaat kelancaran perkhidmatan dan penjimatan masa akan dapat terus menarik minat orang ramai untuk beralih menggunakan pengangkutan bas,"katanya.

Rapid Bus memaklumkan projek percubaan lorong bas itu akan memberi manfaat kepada komuniti penduduk di sekitar kawasan Puchong, Sri Manja, Taman Kinrara, Taman Desa, Taman OUG dan Jalan Kuchai Lama dengan melibatkan 42 bas dari enam laluan.

Ini termasuk laluan bas 600: Hab Puchong Utama - Hab Pasar Seni, 640: Hab Seri Manja - Hab Pasar Seni, 650: Taman Desa - Hab Pasar Seni, 641: Pearl Point - LRT Subang Jaya, 651: Pearl Point - LRT Muhibbah dan 652: Batu 3 Jalan Klang Lama, BHP - LRT Awan Besar.

Untuk maklumat terkini, pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman sesawang rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my.

TETITIA YUSOFF