
KUALA LUMPUR, 6 Februari – Rapid Bus Sdn. Bhd. akan melaksanakan fasa kedua penstrukturan semula rangkaian bas Rapid KL di Lembah Klang bermula 14 Februari ini, melibatkan 10 laluan bas.
- Fasa kedua penstrukturan semula rangkaian bas Rapid KL bermula 14 Februari melibatkan 10 laluan.
- Tujuan penstrukturan ialah tingkatkan kecekapan, optimalkan sumber dan perkuat kebolehpercayaan perkhidmatan bas.
- Strategi berasaskan data fokus pada laluan berpermintaan rendah untuk sistem pengangkutan awam yang lebih pintar dan fleksibel.
- Pengguna masih boleh guna alternatif seperti Rapid KL OnDemand, rangkaian rel dan perkhidmatan bas sedia ada.
Langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan operasi yang dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kecekapan rangkaian, mengoptimumkan penggunaan sumber serta memperkukuh kebolehpercayaan perkhidmatan bas.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata penstrukturan tersebut bukan sekadar penyesuaian laluan, tetapi merupakan strategi membina sistem pengangkutan awam yang lebih pintar, berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan mobiliti masa depan.
“Dengan memfokuskan kepada laluan berpermintaan rendah, Rapid Bus mengguna pakai pendekatan dinamik berasaskan data bagi memastikan perkhidmatan berkembang seiring perubahan corak perjalanan bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, inisiatif itu meletakkan asas kepada model operasi yang lebih fleksibel, berskala dan bersepadu, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan rangkaian bas untuk menyokong pertumbuhan bandar, peningkatan permintaan penumpang serta integrasi dengan ekosistem pengangkutan awam masa hadapan.
Rapid Bus memberi jaminan bahawa pengguna masih mempunyai akses kepada perkhidmatan alternatif lain termasuk Rapid KL OnDemand, selain rangkaian rel dan bas sedia ada bagi memastikan kesinambungan perjalanan harian.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai penstrukturan laluan ini melalui laman web rasmi www.myrapid.com.my serta saluran media sosial Rapid KL. Pertanyaan juga boleh dibuat melalui talian bantuan Rapid KL di 03-7885 2585 atau emel suggest@rapidkl.com.my.