fb fb fb fb fb

Ranhill SAJ diminta beri notis gangguan bekalan air lebih awal

Foto hiasan

KULAI, 15 April- Syarikat pengendali air Johor Ranhill SAJ diminta untuk memberi notis pemberitahuan gangguan bekalan air lebih awal pada masa akan datang sebagai persiapan penduduk membuat simpanan air, terutama semasa musim perayaan.

Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Md Shukor, tindakan itu bagi memastikan isu yang membelenggu penduduk termasuk di sekitar Felda Bukit Permai di Kulai sejak 9 April lalu, tidak berulang.

"Sepatutnya Ranhill SAJ sebuah syarikat swasta dan sudah tentu perkara ini mesti ada pelan jangka pendek, sederhana, panjang.

"Sebab ini syarikat swasta dan tentulah perkhidmatan yang ditawarkan mesti lebih baik. Kali ini mereka gagal merancang untuk tindakan jangka pendek," katanya selepas mengadakan tinjauan ke kawasan terjejas air di Felda Bukit Permai, di sini.

Sehingga kini, 168 unit rumah terpaksa bergantung kepada inlet injection ke paip bomba sekitar untuk mendapatkan bekalan air.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Bukit Permai Zakaria Khalid berasa kecewa terhadap gangguan air yang berlarutan di kawasan itu.

"Kalau Kampung Agas ini dah 50 tahun tidak mendapat air, kita dah biasa sebabbekalan air dibantu oleh masjid dan rumah-rumah. Tetapi yang saya sedih pada waktu pagi raya, air terus kosong. Setitik pun tak keluar," katanya.

Bagi Ketua Kampung Sri Muar Surono Karimen, dia terpaksa menenangkan penduduk sebelum bantuan air diberikan.

"Jenuh juga saya untuk memujuk penduduk supaya bertenang terlebih dahulu. Alhamdulillah pada hari raya pertama bantuan diterima sekitar pukul 2.00 petang hingga 12.00 tengah malam," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI