fb fb fb fb fb

Rangkuman Solat Sunat Aidilfitri di seluruh negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan Solat Sunat Aildilfitri bersama-sama 3,000 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Turut berangkat Sultanah, Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail bersama-sama tiga lagi kekandanya.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan beberapa pegawai kerajaan negeri.

Solat Sunat Aidilfitri diimami Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron, sekali gus menyampaikan khutbah bertajuk ‘Aidilfitri hari bersyukur’.

Cuaca baik hari ini memberi kelebihan buat umat Islam di Terengganu menyambut 1 Syawal dengan suasana penuh meriah.

Sementara di Johor, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bersama-sama lebih 1,000 jemaah, pagi tadi. 

Baginda tiba pada pukul 8.30 pagi, diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan suami Tunku Puteri Johor, Dennis Muhammad Abdullah.

Turut menyambut ketibaan baginda, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Exco.

Solat Sunat Aidilfitri dipimpin oleh Imam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Makhadzir Abdan, yang turut menyampaikan khutbah bertajuk 'Kejayaan Hakiki di Pagi Syawal'.

Tunku Mahkota Ismail turut berkenan meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah sebelum berangkat meninggalkan masjid kira-kira pukul 9.10 pagi tadi.

Dalam pada itu, di Kedah, Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Zahir, pagi tadi.
 
Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.
 
Keberangkatan tiba baginda dan Sultanah Maliha disambut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali.
 
Berangkat sama, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Zaheeda Mohamad Ariff.

Berangkat sama, Tengku Mahkota Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff ibni Sultan Sallehuddin serta kerabat diraja baginda.
 
Solat sunat dan khutbah Hari Raya Aidilfitri diimami dan disampaikan Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad.
 
Selesai solat, baginda dan kerabat diraja yang lain berkenan beramah mesra bersama-sama para jemaah yang hadir sebelum berangkat pulang.

Di Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan berangkat menyertai ribuan jemaah menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Baginda tiba sekitar pada pukul 8.30 pagi tadi dengan diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Solat Sunat Aidilfitri diimami Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hanafizi Abdullah manakala khutbah disampaikan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Usai solat, baginda mengambil kesempatan beramah mesra bersama-sama para jemaah sebelum berangkat pulang menghadiri Majlis Penghadapan yang diadakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Manakala di Pahang, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta'in Billah di Temerloh.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketibaan kedua baginda disambut Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco.

Solat Sunat Aidilfitri dipimpin oleh Imam Besar Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta'in Billah, Ahmad Hakim Shamsuddin, diikuti khutbah disampaikan Mufti Pahang Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim.

Selesai solat, baginda berkenaan menyantuni jemaah.

Di Selangor pula, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama-sama kira-kira 6,000 rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi tadi.

Baginda tiba di masjid berkenaan pada pukul 8.20 pagi, bersama-sama dengan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan diiringi  Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Solat Sunat Aidilfitri kemudiannya diimami Imam Besar Masjid Negeri Selangor iaitu Ustaz Muhammad Farhan Wijaya.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir kemudiannya menyampaikan khutbah yang bertajuk 'Ibrah Di Sebalik Hari Kemenangan'.

Baginda turut berkenan meluangkan masa bersalaman dengan jemaah yang menunaikan solat di masjid tersebut.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin serta Tengku Amir Shah kemudian berkenan menyertai majlis santapan di masjid berkenaan sebelum berangkat pulang.

Di Sarawak, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyertai lebih 5,000 umat islam sekitar Kuching untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Petra Jaya, pagi tadi.

Beliau yang tiba di pekarangan masjid sekitar pada pukul 7.50 pagi tadi disambut Premier Sarawak, Datuk Patinggi, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Solat Sunat Aidilfitri dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, manakala khutbah Aidilfitri disampaikan Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM