
LENGGONG, 10 April – Rangka asal ‘Perak Man’ kini ditempatkan semula di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong (GALL) sebagai sebahagian usaha memperkukuh pemuliharaan warisan sejarah negara serta tarikan pelancongan.
- Artifak melalui proses konservasi rapi di bawah jagaan Jabatan Warisan Negara di Kuala Lumpur.
- Pameran artifak di galeri dilaporkan meningkatkan kehadiran pelancong dan memberi nilai tambah kepada Galeri Arkeologi Lenggong.
- Kerja naik taraf RM5 juta memperkenalkan teknologi hologram, paparan interaktif dan visual moden meningkatkan pengalaman pengunjung.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, artifak bersejarah itu sebelum ini berada di bawah jagaan Jabatan Warisan Negara di Kuala Lumpur dan telah melalui proses konservasi rapi bagi memastikan keutuhan fizikal serta kawalan persekitarannya.
Menurut beliau pemulangan rangka tersebut ke lokasi asal penemuannya dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan tempatan.
“Kita lihat apabila rangka ‘Perak Man’ dipamerkan di sini, berlaku peningkatan kehadiran pelancong. Ia memberi nilai tambah kepada Galeri Arkeologi Lenggong,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap artifak ‘Perak Woman’ yang kini berada di Universiti Sains Malaysia (USM) dapat dibawa pulang ke Lenggong bagi melengkapkan koleksi sedia ada.
“Jika ‘Perak Woman’ turut dipamerkan di sini, ia akan menambah lagi tarikan dan meningkatkan jumlah pelancong ke Lenggong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Semula Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di Kota Tampan.
Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang turut melancarkan Duit Syiling Peringatan Tapak Warisan Dunia.
Pembukaan semula galeri itu sejak Julai lalu dilihat signifikan dalam memperkukuh usaha pemeliharaan warisan selain merancakkan pembangunan pelancongan di kawasan berkenaan.
Kerja naik taraf bernilai RM5 juta itu turut memperkenalkan elemen baharu termasuk teknologi hologram, paparan interaktif serta visual moden bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.
Sementara itu, duit syiling peringatan edisi khas yang dilancarkan menampilkan keunikan enam Tapak Warisan Dunia di Malaysia termasuk Warisan Arkeologi Lembah Lenggong di Perak.