PUTRAJAYA, 29 Julai- Rangka kerja MADANI bukan hanya memberi fokus kepada proses penyelesaian masalah tetapi juga terhadap nilai-nilai murni bagi membina moral yang baik dalam kalangan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini adalah kaedah terbaik bagi membentuk masyarakat yang lebih baik terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Menurut Datuk Seri Anwar, MADANI bukan sahaja berkisar mengenai kemampanan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan tetapi ia juga menggariskan tentang falsafah, nilai-nilai murni serta integriti dari segi membina akhlak yang baik.
"Ia juga bertepatan dengan Konsep Malaysia MADANI yang berteraskan enam tunjang utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan," kata Anwar ketika berucap di ‘Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri’ di Seri Perdana di sini.
Perdana Menteri yang hadir di Majlis Ilmu, Syarahan Madani merakamkan penghargaan kepada pengasas merangkap Presiden Institut Penyelidikan Islam ,Yaqeen Dr Omar Suleiman dan menyifatkan beliau sebagai seorang intelektual dan aktivis muda yang diperlukan dalam setiap masyarakat.
Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyertai 20 jemaah menunaikan solat Maghrib yang dipimpin oleh Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Muhammad Hazri Othman sebelum meluangkan masa kira-kira sejam dalam sesi perkongsian ilmu bersama Omar.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
(Datuk Seri Anwar berkata berkata, ini adalah kaedah terbaik bagi membentuk masyarakat
yang lebih baik terutamanya dalam kalangan generasi muda)