fb fb fb fb fb

Rancangan Trump ambil alih Gaza disifatkan sebagai penjajahan baharu-NGO

Pengarah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Citizen International, Mohideen Abdul Kader sifatkan pelan ambil Gaza oleh Trump sebagai gila / Foto RTM

BAYAN BARU, 21 Februari-Pelan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengambil alih Gaza dianggap sebagai bentuk penjajahan moden yang bertujuan menghapus hak rakyat Palestin.

Malah, ia merupakan pencabulan hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

Pengarah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Citizen International, Mohideen Abdul Kader menegaskan rakyat Palestin mempunyai hak mutlak terhadap masa depan negara mereka tanpa campur tangan asing.

Justeru, usaha menolak rancangan itu perlu digerakkan pelbagai pihak termasuk pemimpin dunia.

"Kita meletakkan empat perkara penting iaitu kita mengutuk sebarang pelan yang bertujuan mengubah status Gaza tanpa persetujuan rakyat Palestin mempertahankan hak mereka untuk mentadbir tanah air mereka sendiri.

"Selain menghentikan sokongan kepada Israel yang memungkinkan penjajahan ini serta mendesak PBB, OIC dan juga solidariti. seluruh dunia menolak pelan gila Trump ini", katanya demikian dalam Perhimpunan Aman Bantahan Menolak Kenyataan Pelan Trump mengambil alih Gaza di Masjid Umar Al-Khattab, di sini.

Perhimpunan, turut mendapat kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Baru-baru ini, Donald Trump merancang untuk mengambil alih Gaza dengan memindahkan penduduk Palestin ke negara jiran seperti Jordan dan Mesir.

Ia bertujuan membangunkan semula wilayah itu sebagai destinasi pelancongan yang digelar "Riviera Timur Tengah".

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD