
PARLIMEN, 26 Januari – Pembangunan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai wilayah sejahtera, mampan dan pintar terus diperkukuh dengan menjadikannya sebagai hab logistik pintar serta pusat kewangan digital serantau.
- Rancangan Struktur Labuan 2040 memposisikan Labuan sebagai hab logistik pintar dan pusat kewangan digital serantau.
- Memperkukuh sektor kewangan melalui perluasan peranan syarikat amanah, kewangan Islam, pasaran modal dan pengurusan kekayaan.
- Menawarkan insentif baharu dan Pelan Induk LMIP untuk menarik pelaburan serta menggerakkan ekosistem pelabuhan dan industri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, komitmen tersebut dizahirkan melalui penggubalan dasar dalam Rancangan Struktur Labuan 2040.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang digariskan ialah memperkukuh peranan Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa melalui dua pendekatan utama.
“Pertama, memperluas potensi sektor kewangan merangkumi syarikat amanah, kewangan inovatif, kewangan Islam, perdagangan komoditi, pasaran modal dan pengurusan kekayaan.
“Kedua, menawarkan pelbagai insentif baharu bagi menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan lebih kompetitif dan menarik kemasukan pelabur baharu, di samping mengekalkan pemain industri sedia ada,” katanya.
Hannah turut memaklumkan, Jabatan Wilayah Persekutuan melalui Perbadanan Labuan telah menyediakan Pelan Induk Labuan Maritime Industrial Park (LMIP).
Pelan induk tersebut memperincikan cadangan guna tanah bagi kawasan industri serta komponen pelabuhan bersepadu yang dijangka menjadi pemangkin baharu dalam ekosistem pelaburan di Labuan.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH–Sekijang) berhubung komitmen mempercepat transformasi Labuan sebagai hab logistik pintar dan pusat kewangan digital yang kompetitif di rantau Asia Pasifik, termasuk insentif fiskal baharu bagi menarik pelaburan berimpak tinggi ke wilayah itu.