KUALA LUMPUR, 26 Disember- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlakunya banjir di sembilan jajahan di Kelantan dan lapan daerah di Terengganu, mulai Ahad ini.
JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan terlibat adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
Di Terengganu pula melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
"Ia susulan amaran hujan berterusan peringkat Waspada yang dikeluarkan MetMalaysia.
JPS akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir jika hujan signifikan berterusan di lembangan-lembangan sungai terlibat," kata kenyataan itu.
Tambah JPS, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh jangkaan.
Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk di kawasan berisiko diminta berwaspada dan sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa.