Ramadan perkasa wakaf, zakat di Wilayah Persekutuan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Februari – 30 Hari Berwakaf@Ramadan merupkan inisiatif yang memberi peluang kepada masyarakat untuk menyumbang secara konsisten kepada pelbagai projek wakaf berbeza setiap hari selain menunaikan tanggungjawab berzakat sepanjang Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif 30 Hari Berwakaf@Ramadan galakkan sumbangan wakaf konsisten sepanjang Ramadan.
  • Terdapat kira-kira 34 projek wakaf menunggu pelaksanaan dalam sektor pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial.
  • Tema Ikhlas Memberi, Tulus Membantu tekankan keikhlasan sumbangan untuk manfaat berpanjangan kepada asnaf.
  • Pelbagai kaedah pembayaran zakat dan wakaf disediakan termasuk amil, kaunter, portal, aplikasi dan ejen perbankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, ia merupakan kempen istimewa menyemarakkan bulan Ramadan.

“Di Wilayah Persekutuan, kami amat memerlukan sokongan daripada masyarakat Islam untuk tampil membantu dalam menjayakan pembangunan wakaf yang dirancang.

“Ketika ini, terdapat kira-kira 34 projek wakaf yang sedang menunggu pelaksanaan, merangkumi sektor pendidikan, kesihatan, ekonomi dan juga sosial.

“Wakaf merupakan satu ibadah yang sangat penting serta mampu menjana pertumbuhan dan pembangunan umat Islam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Tema ‘Ikhlas Memberi, Tulus Membantu’ pula menekankan setiap sumbangan yang diberikan dengan penuh keikhlasan akan memberi kesan yang lebih besar dan berpanjangan kepada mereka yang memerlukan khususnya golongan asnaf.

Orang ramai boleh menunaikan zakat fitrah melalui 946 orang amil fitrah yang telah dilantik dan bakal ditempatkan di masjid, surau serta pejabat, termasuk pusat membeli-belah di seluruh Wilayah Persekutuan.

Pembayaran secara dalam talian pula boleh dilaksanakan di portal fitrah.zakat.com.my atau aplikasi MyZakat dan ejen-ejen kutipan PPZ-MAIWP yang merangkumi 15 perbankan internet, e-wallet dan portal.

Manakala pembayaran wakaf tunai boleh dilaksanakan di 10 Kaunter PPZ-MAIWP, Portal wakafwilayah.com.my dan Kaunter Zakat serta Wakaf Bergerak.