fb fb fb fb fb

Rakyat puji inisiatif tukar cip MyKad percuma sebelum BUDI95

Orang ramai mula memenuhi premis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul seawal 8 pagi tadi bagi menyelesaikan urusan berkaitan MyKad, termasuk pembaharuan cip MyKad yang rosak/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 September - Orang ramai memuji langkah kerajaan menawarkan penggantian cip MyKad rosak secara percuma di semua kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula hari ini hingga 7 Oktober depan.

Inisiatif itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan BUDI95 yang menggunakan MyKad sebagai pengesahan bagi membolehkan rakyat menikmati subsidi petrol RON95.

Seorang pengunjung berkata proses pertukaran cip MyKad hari ini berjalan lancar dan mudah.

“Sampai tadi sebelum pukul 8 pagi, semuanya ok. Perdana Menteri pun umum 2+1, jadi ambil kesempatan ini untuk tukar kad pengenalan sekali,” katanya Cairul Nadzim Mohd Yusof.

Seorang lagi pengunjung turut berkongsi pengalaman cepat berurusan walaupun jumlah orang ramai.

“Depan saya ada lebih 100 orang tapi nombor saya dipanggil dalam 10-15 minit. IC sebagai syarat subsidi minyak langkah bijak kerana sebelum ini ada warga asing ambil kesempatan,” kata Intan Marzuera Mohamad Nor.

Sementara itu, seorang pengguna lain menyifatkan inisiatif ini menguntungkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Kita tak nak nanti ada masalah cip rosak. Bila kerajaan umum benda ini memang gembira sebab untuk orang kita, tambah-tambah golongan B40 yang memerlukan,” kata Rohaya Ariffin.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) hingga 300 liter sebulan.

Pembelian juga dipermudah melalui pengesahan MyKad serta pembayaran digital seperti e-dompet Touch ’n Go (TNG) dan aplikasi syarikat minyak.

GRACE AISYAH KEDAYAN