fb fb fb fb fb

Rakyat negeri Pahang perlu waspada ajaran sesat

Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 5 April- Kerajaan Pahang menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam di negeri itu, agar menghindari apa juga bentuk ajaran salah atau sesat dengan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebagai umat Islam yang mempunyai pendidikan agama, rakyat tidak boleh membiarkan diri terperangkap dalam jaringan ajaran sesat.

Menurutnya, umat Islam perlu merujuk kepada ahli-ahli agama yang bertauliah dan berautoriti sekiranya terdapat sebarang kekeliruan serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sekiranya ajaran sesat seperti fahaman Khawarij, Takfiri dan Syiah tidak dibendung, ia dibimbangi boleh mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku, selain membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Justeru, rakyat di Pahang diminta untuk berwaspada dan berpegang teguh pada kebenaran dengan bersandarkan kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kerajaan Negeri tegasnya, akan sentiasa memantau sebarang bentuk ajaran yang mencurigakan, agar ia dapat ditangani, bagi menjaga kesucian akidah umat Islam di negeri ini.

SITI AISHAH MD ISA