PUTRAJAYA, 25 November- Rakyat Malaysia diseru agar mengurangkan pengambilan gula dalam pemakanan bagi mengelakkan risiko penyakit Diabetes.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesedaran tentang kepentingan kesihatan di negara ini dilihat tidak terkawal sehingga Malaysia mencatat jumlah pesakit Diabetes tertinggi di Asia Tenggara.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Perdana Menteri juga mengarahkan semua kementerian melaksanakan kempen kurangkan gula dalam pemakanan kerana penyakit Diabetes yang memberikan masalah besar kepada negara.
"Jadi semua program kementerian, KPPA ada, jamuan dengan arahan kurangkan gula. Kalau tidak saya rasa kesal betul-betul, Malaysia ini dengan kesedaran Islam, dengan dakwah, dengan tazkirah, Diabetis paling tinggi, maknanya kesedaran tentang tentang kepentingan kesihatan tidak dikawal", katanya ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa KUD @Putrajaya 2023 di Putrajaya.
Khamis lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata dapatan Hasil Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati prevalens kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara yang mana mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019.