fb fb fb fb fb

Rakyat Johor iringi keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Negara

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad mengetuai bacaan doa sebelum keberangkatan Sultan Ibrahim ke Kuala Lumpur

JOHOR BAHRU, 31 Januari- Ribuan rakyat Johor berhimpun di sepanjang jalan seawal 6.30 pagi, bermula dari Istana Bukit Serene ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Kulai untuk menyaksikan keberangkatan bersejarah Sultan Ibrahim ke Kuala Lumpur untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Sultan Ibrahim berangkat dari Istana Bukit Serene menaiki kenderaan rasmi pada 7.45 pagi tadi dengan diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Kira-kira 30,000 rakyat Johor termasuk pelajar sekolah, penjawat awam negeri dan orang ramai menyaksikan keberangkatan Sultan Ibrahim.

Orang ramai berkumpul di sepanjang laluan menuju ke LTAS, di lokasi seperti Taman Scientex Utama Senai, Taman Aman, Pekan Senai dan Masjid LTAS, sehingga ke Hangar Diraja Senai.

Keseluruhan perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam.

Setibanya di LTAS, Sultan Ibrahim disambut oleh pembesar negeri, diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani, bersama-sama ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kerajaan negeri.

Turut hadir bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Dr Sahruddin Jamal bagi menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim.

Suasana di dalam Hangar Diraja meriah dan keberangkatan tiba Baginda akan disambut dengan penuh istiadat.

Sebelum rombongan diraja berlepas ke Kuala Lumpur menaiki pesawat peribadi Baginda, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad mengetuai bacaan doa, diikuti dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa.

Pesawat itu berlepas ke Pangkalan Udara Subang pada pukul 9.00 pagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI