fb fb fb fb fb

Rakyat disaran budayakan amalan melestarikan alam sekitar, menjelang Aidilfitri

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad

PUTRAJAYA, 3 April- Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, rakyat disaran membudayakan amalan-amalan kelestarian alam sekitar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, selain mengelakkan pembaziran makanan, orang ramai turut diseru untuk menggunakan perkakas yang lebih mesra alam dan meminimumkan penggunaan plastik sekali guna.

"Sekarang kita nak jimat kos. Tidak mahu cuci pinggan, guna pinggan kertas dan sebagainya. Tetapi kalau boleh elakkan, kerana kita ada pilihan. Namun, jika terpaksa guna kita sarankan agar gunakan bahan yang boleh terurai. Contohnya, kertas, bukan plastik atau polisterin."

"Jadi, itu pilihan itu semua ditangan kita. Kalau dulu, tiada pun pilihan-pilihan ini, terpaksa juga cuci pinggan mangkuk. Kita pilih yang terbaik untuk memastikan impak sambutan Aidilfitri ini tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar kita," kata Nik Nazmi dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Iftar warga NRES di Putrajaya.

Tambahnya, beliau menyokong keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan tiada penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana tahun ini untuk mengelak pembaziran.

Bagaimanapun, tiada larangan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri buat mana-mana kementerian atau agensi kerajaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM