Rakyat berhak kecewa apabila pihak berkuasa salah guna kedudukan, amal rasuah

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Istana Negara hari ini/Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 9 Januari– Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan nasihat agar Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dipelihara serta dipertahankan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti dipelihara untuk memastikan integriti pemerintahan terjamin.
  • Rakyat berhak kecewa apabila pihak berkuasa menyalahgunakan kedudukan dan terlibat dalam amalan rasuah.
  • Perlu pengukuhan tatakelola dan pelaksanaan reformasi institusi untuk memerangi rasuah secara berkesan.

Baginda bertitah pemeliharaan dua aspek Rukun Negara itu amat penting kerana ia memberi kesan secara langsung terhadap tahap kepercayaan rakyat kepada integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara.

“Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah,” titah Seri Paduka Baginda menerusi perkongsian di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, di Istana Negara, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Baginda dipersembahkan taklimat mengenai isu-isu semasa perihal perundangan dalam negara, termasuk menyentuh soal pengukuhan tatakelola serta pelaksanaan reformasi institusi ke arah memerangi rasuah.