fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Majlis Penutupan Ulang Tahun ke-40 UIAM

Raja Permaisuri Agong berkenan beramah-mesra bersama anak-anak Palestin daripada Sekolah Jasmine Ash-Sham pada Majlis Penutup Ulang Tahun Ke-40 UIAM di Pusat Kebudayaan (UIAM)/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Disember- Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Penutupan Ulang Tahun Ke-40 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersempena Malam Amal Palestin malam tadi.

Tunku Azizah berangkat tiba di Pusat Kebudayaan UIAM diiringi Presiden UIAM Tan Sri Samsudin Osman dan Rektor UIAM Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Baginda turut berkenan menyaksikan sumbangan RM40,000 yang disampaikan oleh Presiden UIAM kepada Ketua Pelajar Palestin di universiti tersebut.

Sumbangan tersebut akan disalurkan ke Tabung Anak-Anak Palestin UIAM bagi membantu pelajar Palestin yang berada di institusi tersebut.

Seri Paduka, yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, turut berkenan menyaksikan beberapa persembahan pelajar dan alumni universiti tersebut yang berlangsung selama satu jam.

Antara persembahannya adalah dikir barat, caklempong, angklung, gamelan, wayang kulit, nyanyian nasyid serta persembahan anak-anak Palestin dari Sekolah Jasmine Ash-Sham.

Baginda kelihatan sebak sewaktu menyaksikan persembahan serta tayangan video anak-anak Palestin dan turut beramah mesra dengan mereka.

Majlis Penutupan Ulang Tahun Ke-40 UIAM adalah sebagai simbolik bagi melabuhkan tirai tahun 2023 dan bersempena dengan penganjuran Malam Amal Palestin.

ROSLINA BINTI DIN