fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis lancar Ujana Bahasa Melayu di Phang Nga, Thailand

FOTO UNIMAP

PHANG NGA, 28 April- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkenan menyempurnakan pelancaran Ujana Bahasa Melayu: UniMAP-FAHAD di Fahad Wittayathan School, Phang Nga, Thailand.

Fahad Wittayathan School merupakan sekolah angkat UniMAP bagi program memperkasakan bahasa Melayu di wilayah Andaman Thailand.

Baginda turut berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan buku terbitan Penerbit UniMAP dan Modul Literasi Bahasa Melayu UniMAP-Yayasan Hasanah kepada pihak Fahad Wittayathan School dan seterusnya melawat ujana tersebut.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli menyerahkan sumbangan buku kepada Pengarah Fahad Wittayathan School, Ali Prasankarn dimana buku-buku yang disumbangkan ini termasuk juga dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk ditempatkan di Ujana Bahasa Melayu di sekolah tersebut yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti pembelajaran bahasa Melayu di wilayah Phang Nga.

Program pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah tersebut telah bermula sejak tahun 2015 hingga 2019 dan terhenti seketika pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19 dan diteruskan semula dengan pelibatan guru bahasa dari Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP.

Pelancaran tersebut diadakan sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai baginda bersama Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil MAIPs ke Wilayah Phang Nga dan Phuket, Thailand.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE