KANGAR, 8 Disember- Tahun Melawat Perlis 2024-2025 bakal mengetengehkan pelbagai lokasi pelancongan, produk-produk tempatan, acara dan warisan serta budaya yang ada di Negeri Perlis untuk dinikmati oleh pelancong.
Para pelancong boleh meluangkan masa dengan meneroka keindahan dan keistimewaan negeri Perlis, merasai makanan unik serta melawati tempat-tempat yang menarik dengan kos yang berpatutan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keunikan bentuk muka bumi, landskap yang menarik, tarikan alam semula jadi dan sempadan yang memisahkan Malaysia-Thailand merupakan antara faktor tarikan utama negeri ini dan jadikannya kenangan dan sematkan sebagai memori yang indah apabila bertandang ke Perlis.
Titah baginda, jadikan pengalaman kempen Tahun Melawat Perlis 2003-2005 yang lalu sebagai panduan dan titik tolak bagi mencapai kejayaan yang lebih baik bagi Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
"Pengusaha rumah inap pelancongan, pemilik restoran, pengendali pengangkutan awam dan pihak berwajib perlu menambah baik prasarana masing-masing dengan mengutamakan kebersihan, mengukuhkan tahap keselamatan dan menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, selesa dan memuaskan, juga yang paling mustahak ialah peka kepada kehendak pelanggan supaya mereka akan bertandang berulang kali,"titah baginda.
Baginda bertitah sempena Majlis Pelancaran Perdana Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Dewan 2020, Kangar dengan jangkaan lebih 3.5 juta pelancong bakal berkunjung ke Perlis.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil yamg disertai hampir 900 tetamu terdiri kepimpinan kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan pengiat industri pelancongan seluruh Perlis.