fb fb fb fb fb

Raja Muda Kedah titah rakyat berjaga-jaga ketika cuaca panas

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin berkenan menyampaikan sumbangan Back To School dan Sumbangan Ihya Ramadan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) kepada 300 penerima di Dewan Cenderawasih, di sini hari ini./ BERNAMA

PENDANG, 6 Mac- Susulan cuaca panas fenomena El Nino melanda  di Kedah ketika ini, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menasihatkan rakyat negeri ini supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

Baginda bertitah bagi pelajar pula, mereka dinasihatkan supaya patuh kepada arahan guru bagi mengelak daripada terdedah kepada panas terik yang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini.

“Kalau cuaca panas janganlah kita main tengah panas, berada di luar, kurangkan duduk di kawasan terbuka. Kalau macam sekolah, saya difahamkan aktiviti luar dikurangkan atau tak buat terus, budak-budak pun kena dengar apa cikgu kata," titah Tengku Sarafudin.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Back To School dan Sumbangan Ihya Ramadan Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) kepada 300 penerima di Dewan Cenderawasih, di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan terdapat enam kawasan di Kedah menghadapi cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) iaitu Pulau Langkawi, Kota Setar, Pendang, Baling, Pokok Sena dan Sik.

Tahap berjaga-jaga adalah keadaan suhu maksimum harian mencapai antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, Tengku Sarafudin yang juga Pengerusi TASK berharap bantuan disalurkan kepada penerima dapat membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi sesi baharu persekolahan dan persediaan menyambut Ramadan nanti.

“Bagus apa dibuat Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) yang mengadakan acara ini sebab tabung ini ditubuhkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah. Saya galakkan tabung ini buat lagi bantuan sama ada bantuan Back To School atau bagi bantuan makanan.

“Macam TASK dulu pun kita ada bantuan baiki rumah bila kita tengok tak selesa...bukan ini saja malah pendidikan, kesihatan dan sukan,” titah baginda.

ZEHRA BINTI ZAMBRI