fb fb fb fb fb

Raja Muda Kedah: Kenali bakat melalui sukan, kokurikulum

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin/Foto Jabatan Agama Islam Negeri Kedah

KUBANG PASU, 30 Ogos - Penglibatan aktif dalam sukan dan kokurikulum dapat membantu murid mengenali bakat dan minat mereka.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah bahawa ia membuka peluang untuk pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam pelbagai bidang lain.

"Sukan dan kokurikulum adalah kunci utama dalam membentuk murid yang seimbang dan berketerampilan.

"Jika murid-murid mempunyai bakat dalam acara sukan, mereka boleh dilatih untuk menjadi atlet cemerlang di peringkat sekolah, daerah, negeri, dan negara," titah Baginda semasa Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Azam Abd Samat, dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman.

Pada majlis itu, Tengku Sarafudin Badlishah berkenan mengurniakan anugerah kecemerlangan kepada 84 penerima yang terdiri daripada pelajar, guru, dan alumni yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan gamelan, yosakoi, tarian tradisional, nyanyian, dan orkestra oleh para pelajar sebelum baginda berangkat pulang.

GRACE AISYAH KEDAYAN