fb fb fb fb fb

Raja Muda Kedah berkenan tunai zakat fitrah

FOTO KEDAH ROYAL FAMILY

ALOR SETAR, 27 Mac- Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menunaikan zakat fitrah bagi tahun 1445H/2024M di Pejabat Tuanku Sultan Kedah, Wisma Darul Aman, hari ini.

Pembayaran zakat fitrah tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Kadar Zakat Fitrah di Kedah bagi tahun 2024 ditetapkan pada tiga kadar berbeza berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh penduduk negeri itu pada kadar timbangan timbangan satu Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Kadar RM7.00 dikenakan kepada umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada Super Spesial Tempatan (5% hancur) dan setaraf dengannya.

Manakala kadar RM14.50 ditetapkan kepada umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi dan setaraf dengannya.

Manakala kadar tertinggi iaitu RM22.00 ditetapkan kepada Umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Basmathi, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya.

22 Mac lalu, Lembaga Zakat Negeri Kedah, LZNK menegaskan bahawa tiga kadar zakat fitrah berbeza yang ditetapkan di negeri itu adalah berdasarkan beras yang dimakan.

Bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa iaitu ketiadaan beras tempatan di pasaran yang memaksa Umat Islam beralih kepada beras import, mereka boleh membayar zakat fitrah mengikut kemampuan iaitu pada kadar minima, RM7.00.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE