fb fb fb fb fb

Radio Klasik julung kali bersiaran 24 jam bersama juruhebah

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Buat julung kalinya, Radio Klasik bersiaran 24 jam bersama juruhebah, bermula 12 tengah malam ini.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata ia merupakan inisiatif yang baik untuk meningkatkan interaksi bersama pendengar stesen radio tersebut.

"Kalau kita tengok populasi Malaysia, ramai orang yang bekerja shift sebenarnya. Jadi mereka akan sentiasa dilayan, mereka akan mendengar radio dan kalau ada interaksi itu adalah yang sebaik-baiknya. Saya rasa ini adalah satu peluang untuk kita mengukuhkan lagi jenama dan ini adalah satu peningkatan yang sangat bagus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Radio Klasik 24 jam di Angkaspuri Kota Media, di sini.

Tambah Suhaimi, Radio Klasik turut memperkenalkan dua rancangan baharu iaitu Malam Bulan Di Pagar Bintang dan Sri Bulan yang bersiaran sehingga pukul enam pagi bagi menggantikan segmen Harmoni yang ke udara pada waktu sama sebelum ini.

Suhaimi berkata, segmen Malam Bulan Di Pagar Bintang bakal menampilkan personaliti radio Rosli Derani yang akan bersiaran setiap hujung minggu dari 12 tengah malam hingga 2 pagi selain digandingkan bersama juruhebah yang bertugas bagi merancakkan malam hujung minggu.

Beliau berkata Sri Bulan pula akan menampilkan mantan juruhebah yang pernah menempa nama di Radio Klasik antaranya DJ Haris, DJ Razz dan DJ Norazlina Mohamad, yang akan bersiaran dua minggu sekali pada 12 tengah malam hingga 2 pagi. 

Radio Klasik sebelum ini bersiaran enam jam melalui siaran automasi menerusi segmen Harmoni Klasik dari 12 tengah malam hingga 6 pagi dan selepas ini akan bersiaran sepenuhnya bersama juruhebah yang akan menemani dan menghiburkan pendengar dengan menyiarkan lagu-lagu menggamit kenangan dari tahun 50-an hingga awal 90-an.

Sehingga Januari tahun ini, pendengar Radio Klasik menerusi RTMklik berjumlah 1.6 juta orang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN