fb fb fb fb fb

Racun tikus: Polis ambil keterangan pemilik kebun, ahli keluarga mangsa

PDRM

KULIM, 10 Julai- Polis telah mengambil keterangan pemilik kebun bagi membantu siasatan berhubung kes dua beradik lelaki termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi di sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, beberapa individu lain termasuk jiran dan ahli keluarga mangsa juga dirakam keterangan mereka.

Beliau turut mengesahkan belum ada tangkapan dilakukan oleh polis setakat ini.

Terdahulu, mangsa, Muhammad Akil Syauqi Abdul Rahman, 3, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, pagi tadi.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus yang digantungkan pada dawai besi di sekeliling pagar kebun berdekatan rumah mereka, dipercayai digunakan untuk memerangkap monyet.

Kejadian disedari ibu mereka pada 11.00 pagi selepas mendapati anak-anaknya muntah dan mengalami mulut berbuih.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta 611 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA