fb fb fb fb fb

Arab Saudi beri tumpuan pelaburan skala besar di Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Mohammed Bin Salman berbincang pada pertemuan di Riyadh/ Foto RTM

RIYADH, 30 April -Putera Mohammed bin Salman yang menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia menjelang akhir tahun ini, dijangka memberi tumpuan kepada pelaburan berskala besar di Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lawatan itu juga akan memperkukuh hubungan dua hala Putrajaya - Riyadh.

“Saya lihat beliau bersungguh-sungguh mahu supaya Malaysia diberi tumpuan dan dalam perbincangan dengan Menteri-Menteri dan Syarikat (Arab Saudi) juga, nampak kesungguhan sama, kata Anwar kepada media pada akhir lawatan kerja tiga hari beliau ke Riyadh, Arab Saudi. 

"Saya jumpa Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan (Arab Saudi) semalam pun sebut bahawa arahan itu jelas dan kita harap ini dapat dilaksanakan segera, terpulang kepada kesediaan dan tahap kecepatan kelulusan oleh agensi-agensi Malaysia," tambah Anwar.

Hasrat lawatan itu dizahirkan semasa dialog khas Putera Mahkota Arab Saudi itu dengan beberapa pemimpin negara di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, semalam.

Selain beliau, pemimpin lain yang terlibat adalah Perdana Menteri Mesir, Jordan dan Pakistan.

"Putera Mohammed telah menyebut bahawa beliau akan cuba untuk melawat Malaysia sebelum akhir tahun ini, (tarikh) belum muktamad lagi", kata Anwar. 

ARTIKEL BERKAITAN
Putera Mahkota Arab Saudi berhasrat adakan lawatan rasmi ke Malaysia akhir tahun ini

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD