fb fb fb fb fb

Pusat Rawatan TH Mekah terima permit operasi

Pusat Rawatan TH Mekah

MEKAH, 2 Jun - Kementerian Kesihatan Arab Saudi memberi kelulusan kepada pengoperasian Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah.

Ini sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terawal memperolehi permit tersebut.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pusat rawatan itu meliputi pelbagai perkhidmatan kesihatan seperti rawatan kecemasan, pesakit dalam dan perkhidmatan doktor pakar.

“Terdapat juga khidmat kepakaran perubatan am, perubatan keluarga, ‘anesthesia’ atau bius, psikiatri dan kesihatan awam.

“Di samping itu juga, ada perkhidmatan perkhidmatan sokongan disediakan di Pusat Rawatan Tabung Haji Mekah seperti perkhidmatan pergigian, panggilan ambulans, makmal perubatan, pengimejan dan diagnostik, fisioterapi, khidmat pemakanan diet pesakit, pemantauan kawalan penyakit serta pemantauan kualiti dan keselamatan makanan”, katanya kepada pemberita pada sidang media di bangunan Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji, Mekah.

Menurutnya, kelulusan itu diperoleh hasil pemeriksaan dan pemantauan secara berjadual dan mengejut oleh pihak Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Kejayaan itu juga mencerminkan kualiti perkhidmatan yang baik dan diiktiraf sebagai mencapai standard piawaian kesihatan antarabangsa.

ROSLINA BINTI DIN