LANGKAWI, 6 September – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Yooi memanfaatkan peruntukan RM100,000 di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dengan melaksanakan projek pusat kitar semula pandu lalu automatik.
Menariknya, hasil jualan kitar semula boleh ditukar kepada wang tunai atau perlindungan insurans selama setahun.
Pengerusi JPKKP Kampung Yooi, Abu Halifah Mat Nor berkata, program ini menawarkan pelbagai manfaat kepada komuniti, antaranya khairat kematian sebanyak RM5,000, pampasan kecacatan kekal RM5,000, kos pengebumian RM1,000, kos rawatan RM500 serta elaun kemasukan hospital RM30 sehari sehingga 10 hari.
“Projek ini memberi kelebihan kepada komuniti bukan sahaja dari segi penjanaan ekonomi, malah turut menerima perlindungan takaful dengan harga serendah RM12 hasil jualan barangan kitar semula,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pusat kitar semula pandu lalu automatik geran SejaTi MADANI di Kampung Yooi, Mukim Bohor, hari ini.
Tambahnya, inisiatif itu dapat memperkukuh budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat setempat selain mengurangkan pembuangan sisa di tapak pelupusan.
Beliau turut menggesa penduduk Langkawi agar bersama-sama menjaga alam sekitar dengan mempraktikkan amalan kitar semula.
Program SejaTi MADANI merupakan antara inisiatif Kerajaan MADANI yang bertujuan memacu pembangunan ekonomi di peringkat komuniti.