fb fb fb fb fb

Pulau Pinang tarik pelaburan bernilai RM31.38 bilion pada 2024

FOTO RTM

GEORGE TOWN, 7 Januari- Pulau Pinang mencatat pelbagai pencapaian memberangsangkan sepanjang tahun 2024, termasuk menarik pelaburan bernilai RM31.38 bilion.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kejayaan ini dijangka membuka lebih 6,600 peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, perkhidmatan canggih, dan pertanian moden.

Beliau turut memaklumkan bahawa negeri ini mencapai kadar pematuhan caruman KWSP ketiga tertinggi di Malaysia, iaitu 99.15 peratus, mencerminkan kekuatan aspek sosial.

"Jumlah keseluruhan kos projek bagi Pulau Pinang adalah sebanyak RM28.406 bilion, dan peruntukan yang diluluskan bagi tahun 2024 adalah berjumlah RM1.356 bilion.

"Daripada peruntukan tersebut, perbelanjaan sebanyak RM1.108 bilion atau bersamaan 81.82 peratus telah dicatatkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Bilangan 1 Tahun 2025 yang berlangsung pagi tadi di Dewan Sri Pinang.

Dalam pada itu, Belanjawan Pulau Pinang 2025 dengan tema “Ekonomi MADANI : Rakyat Diperkasa, Negeri Sejahtera” turut diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM1.047 bilion.

Bajet tersebut dirangka bagi memastikan pembangunan mampan, kesejahteraan rakyat, dan tadbir urus yang cekap terus menjadi keutamaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE