Pulau Pinang sasar tangani kesesakan LTAPP, tambah baik sistem sedia ada

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow/BERNAMA

NIBONG TEBAL, 7 Februari– Pulau Pinang mencadangkan tindakan segera diambil bagi menangani isu kelewatan dan kesesakan di pintu masuk antarabangsa negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang berlaku pada Jumaat (6 Februari).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem sedia ada di LTAPP belum berfungsi sepenuhnya, mengganggu proses kemasukan pelancong dan menimbulkan kesesakan.
  • Kedatangan beberapa penerbangan hampir serentak memperlahankan pemprosesan penumpang dan memperburuk keadaan.
  • Penangguhan penyelesaian boleh menjejaskan imej negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Isu tersebut didakwa berpunca daripada kelemahan sistem serta ketidaktentuan jadual ketibaan penerbangan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata sistem sedia ada yang diperkenalkan masih belum berfungsi sepenuhnya dan belum beroperasi secara menyeluruh, sekali gus menjejaskan kelancaran proses kemasukan pelancong.

Beliau menjelaskan, keadaan menjadi lebih rumit apabila beberapa penerbangan tiba dalam tempoh masa yang hampir sama, sedangkan pelancong daripada penerbangan terdahulu masih belum diproses.

“Memang kekangan utama adalah sistem yang diperkenalkan belum berfungsi sepenuhnya secara menyeluruh. Tambahan pula, apabila beberapa penerbangan tiba dalam tempoh masa yang hampir sama, pelancong daripada penerbangan terdahulu masih belum dapat diproses, menyebabkan berlaku kesesakan seperti yang dilaporkan media.”

“Saya percaya isu ini perlu ditangani segera. Kini, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mempunyai satu agensi baharu yang bertanggungjawab terhadap proses kemasukan,” kata Kon Yeow kepada pemberita selepas merasmikan Festival Nibong Tebal, di sini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jason H’ng Mooi Lye.

Tambah Chow, kelewatan menangani isu berkenaan boleh menjejaskan imej negara, khususnya ketika Malaysia sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Pada Jumaat (6 Februari), Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pulau Pinang, Zuhair Jamaludin menafikan dakwaan bahawa hanya dua kaunter pemeriksaan dibuka sehingga menyebabkan kesesakan di Balai Ketibaan Antarabangsa LTAPP.

Beliau menegaskan, kesesakan luar biasa itu berpunca daripada peningkatan mendadak jumlah penerbangan sejak Januari lalu, melibatkan tiga syarikat penerbangan utama iaitu Spring Airline, Shenzen Airline dan China Southern Airline.

Sebanyak 24 penerbangan direkodkan tiba antara pukul 3.00 petang hingga 11.00 malam dengan jumlah keseluruhan penumpang seramai 2,988 orang.