GEORGE TOWN, 30 Januari- Stok minyak masak peket bersubsidi di Pulau Pinang kembali pulih dan mencukupi ekoran tindakan tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri itu menjalankan operasi berterusan bagi membanteras penyelewengan bekalan minyak tersebut.
Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemeriksaan berterusan dilakukan dengan 4,011 premis perniagaan diperiksa sepanjang bulan ini.
Ini bagi memastikan tiada lagi masalah bekalan minyak masak peket bersubsidi di negeri ini dan pengguna mendapat bekalan dengan mudah.
Mohd Ridzuan berkata, pihaknya bukan sahaja membuat pemeriksaan di peringkat runcit malah turut memantau 24 syarikat pembungkus minyak masak peket bersubsidi dan 800 pemborong bagi memastikan tiada penyelewengan di semua peringkat.
“Sejak awal Januari kita dapati aduan mengenai kekurangan bekalan minyak masak turun mendadak dan kita tidak menolak kemungkinan ia susulan daripada pemeriksaan dan operasi yang dijalankan terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan bahan mentah itu.
“Selain itu, kapasiti pengeluaran minyak masak paket bagi Pulau Pinang ialah sebanyak 3.3 kilogram (kg) sebulan mampu menampung permintaan penduduk negeri ini," katanya selepas mengadakan tinjauan di Pasar Awam Tanjung Bungah di sini.
Tinjauan itu dijalankan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain sempena pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula semalam hingga 4 Februari nanti
Mengulas berkenaan bekalan telur ayam di negeri itu, beliau berkata masalah gangguan bekalan akan pulih dalam masa terdekat dengan pihak penternak telah mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasinya.
Kami jangkakan masalah gangguan bekalan telur ayam itu akan pulih dalam masa terdekat. Bekalan (telur ayam) itu ada dan mencukupi cumanya pembeli tidak boleh beli dalam kuantiti yang banyak ketika ini," katanya.
Sementara itu, bagi penguatkuasaan harga, beliau menegaskan, peniaga yang melakukan kesalahan menaikkan harga barangan boleh didenda maksimum RM100 ribu atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya
Mereka juga boleh dikenakan kompaun sehingga RM50,000.