GEORGE TOWN, 10 November- Belanjawan negeri Pulau Pinang 2025 dijangka akan dibentangkan pada 22 November depan.
Fokus belanjawan berkenaan ialah menambah saluran dan sumber hasil bagi mengurangkan jurang defisit belanjawan dicatatkan sebelum ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, belanjawan lebih seimbang berkenaan berkemungkinan tidak akan mengurangkan sebarang peruntukan perbelanjaan.
Namun, dana mencukupi diperlukan bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
"Kebarangkalian kita tidak mengurangkan perbelanjaaan tetapi perlu dana yang mencukupi untuk mengimbang keadaan supaya tidak menjejaskan pembangunan dan kebajikan rakyat.
"Cabaran dia untuk mendapatkan hasil supaya dapat mengurangkan jurang defisit yang dicatatkan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Penang Go Digital di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth, petang tadi.