
KUALA LUMPUR, 19 Februari – Pesakit penyakit kronik disaran mendapatkan nasihat doktor lebih awal sebelum membuat keputusan untuk berpuasa bagi memastikan ibadah yang dilaksanakan tidak menjejaskan tahap kesihatan.
- Rujuk doktor awal untuk penilaian holistik sebelum membuat keputusan berpuasa.
- Stratifikasi risiko (rendah, sederhana, tinggi) tentukan kebolehan pesakit berpuasa.
- Susun semula jadual ubat ikut sahur, berbuka, tidur; jangan hentikan atau gandakan dos tanpa nasihat.
- Berhenti dan dapatkan pemantauan jika dehidrasi, sakit kepala melampau, keletihan atau bacaan gula/tekanan tidak stabil.
Pensyarah Kanan dan Pakar Klinikal Perubatan Keluarga, Dr Haslina Mukhtar Aajamer berkata, penilaian dibuat secara holistik meliputi aspek fizikal serta kesejahteraan mental sebelum menentukan kemampuan seseorang pesakit untuk berpuasa.
Menurut beliau, puasa boleh menjadi “makanan jiwa” yang memberi manfaat rohani, namun pertimbangan kesihatan perlu diutamakan khususnya bagi penghidap darah tinggi, kencing manis dan penyakit buah pinggang.
“Apabila kita bercakap tentang penyakit kronik, kita akan membuat penstratifikasian risiko iaitu rendah, sederhana dan tinggi sebelum memutuskan sama ada pesakit boleh berpuasa atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Bagi pesakit berisiko rendah dan sederhana, jadual pemakanan serta pengambilan ubat akan disesuaikan mengikut waktu sahur dan berbuka.
Namun, pesakit berisiko tinggi lazimnya tidak digalakkan berpuasa kecuali dengan pemantauan rapi, terutama mereka yang mengalami komplikasi seperti kegagalan buah pinggang akibat kencing manis atau tekanan darah tidak terkawal.
Tambah beliau, pesakit yang tetap berhasrat berpuasa perlu peka terhadap tanda amaran seperti dehidrasi teruk, sakit kepala melampau, keletihan luar biasa serta bacaan gula dan tekanan darah yang tidak stabil.
Jadual pengambilan ubat boleh disusun semula mengikut waktu sahur, berbuka dan sebelum tidur.
Bagaimanapun, pesakit tidak boleh menghentikan atau menggandakan dos tanpa nasihat doktor.
Dr Haslina turut menjelaskan beberapa rawatan tidak membatalkan puasa, termasuk penggunaan inhaler bagi pesakit asma serta suntikan tertentu seperti vaksin atau insulin selagi ia tidak bersifat pemakanan.
Beliau menasihatkan pesakit menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya sebulan sebelum Ramadan bagi membolehkan pelarasan rawatan dilakukan dengan selamat, sambil menegaskan rawatan tetap boleh diteruskan selagi tidak memudaratkan kesihatan, selaras dengan prinsip menjaga nyawa sebagai keutamaan.