KUALA LUMPUR, 21 September - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sebanyak RM41.5 juta bagi membantu 27,674 pelajar baharu melalui pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 seorang bagi sesi kemasukan Oktober 2025 ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik.
PTPTN dalam kenyataan berkata, kemudahan WPP itu bertujuan meringankan beban kewangan serta menjaga kebajikan pelajar baharu yang akan memulakan pengajian di peringkat lebih tinggi.
WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima kemudahan itu semasa membuat permohonan kemasukan melalui UPUOnline atau portal kemasukan UA, selain mempunyai ibu bapa atau penjaga yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Sejak diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Ogos 2025, seramai 990,646 pelajar telah menerima manfaat WPP dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.46 bilion.
Bagi sesi Oktober ini, semakan tawaran boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN, dan pelajar boleh menunaikan WPP di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 24 September 2025.