fb fb fb fb fb

PTPTN: Kerajaan pertimbang kaji semula kadar pinjaman, terma

Foto FB Anwar Ibrahim

GOMBAK, 11 April- Kerajaan sedang pertimbang untuk mengkaji semula kadar pinjaman dan terma pembayaran balik hutang PTPTN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia bagi membantu peminjam dengan lebih baik, di samping menangani isu hutang tertunggak yang tinggi.

Ketika ini, hutang PTPTN hampir mencecah RM40 bilion.

"Jika kita tingkatkan kadar pinjaman, mungkin ia akan menjadi RM50 bilion. Buat masa ini, saya lihat kita hanya perlu bertahan. Kita akan bantu pelajar dari segi keperluan tetapi saya rasa kita ada tekad untuk membuat semakan semula.

Saya ulangi perkara yang saya bangkitkan sebelum ini, bahawa kita boleh menyelesaikan perkara ini. Jika kita lakukan beberapa perkara ini sebagai contoh mengenakan cukai ke atas kelompok yang maha kaya. Ibu bapa mereka yang maha kaya perlu bayar, jadi kemudiannya baru kita boleh salurkan kepada pelajar yang lebih memerlukan," jelas Anwar, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab program "Meet Anwar@IIUM: A Special Homecoming" di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Dalam pada itu, status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan boleh dilaksanakan ke atas semua orang kenamaan dalam negara.

Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau juga diletakkan di bawah status sama oleh pihak berkuasa.

" Semua VIP (kenamaan) kena. Saya pun kena," tambah Anwar.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa beliau dilabel dan ditanda sebagai individu dibawah status TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM