fb fb fb fb fb

PTOKU baharu perlu tingkatkan pencapaian

Datuk Seri Noraini Ahmad menekankan keperluan meningkatkan pencapaian PTOKU dalam sesi Dewan Rakyat. Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Kadar pencapaian 69.09 peratus bagi program Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PTOKU) sedia ada dikategorikan sebagai berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.

Bagaimanapun, pencapaian itu perlu dipertingkatkan dalam PTOKU yang baharu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, setiap kementerian dan agensi kerajaan perlu bertanggungjawab memastikan pelaksanaan program seperti yang disenaraikan.

Beliau berkata, pembangunan PTOKU yang baharu akan mengenal pasti mekanisme pemantauan dan pelaporan yang sesuai bagi setiap program di bawah pelan berkenaan.

“Pembangunan PTOKU yang baharu akan turut mengambil kira Dasar OKU sedia ada, selain merujuk kepada prestasi pencapaian PTOKU sedia ada, Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685] serta pandangan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dewan turut dimaklumkan bahawa MKBOKU telah meminta semua kementerian dan agensi terlibat untuk melaporkan status tindakan susulan terhadap program yang tidak mencapai 100 peratus pelaksanaan dalam PTOKU sedia ada, walaupun melebihi garis masa yang disasarkan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN