SHAH ALAM, 21 Januari – Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku atau pelanggaran integriti dalam kalangan warganya.
Ini susulan penahanan 17 individu, termasuk penjawat awam di Selangor, pada 10 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.
Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Datuk Dr. Yusri Zakariah berkata pihaknya komited meningkatkan kesedaran anggota pentadbiran tanah di seluruh negeri, khususnya berkaitan integriti dan isu rasuah.
“Bagi kes ini, sistem yang digunakan sudah selamat, jadi orang ramai tidak perlu risau tentang keselamatannya. Masalah ini berpunca daripada sikap individu yang mengambil kesempatan sewaktu penukaran sistem lama kepada sistem e-Tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan treler pemuat rendah milik PTGS, di sini.
Dr. Yusri turut memaklumkan bahawa tujuh daripada individu yang ditahan berasal dari Pejabat Tanah dan Galian Daerah Klang.
“Kami juga telah memanggil beberapa kakitangan PTGS untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Selain itu, siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengesan pihak yang mengambil peluang melakukan salah laku sewaktu proses penukaran sistem lama kepada e-Tanah.