fb fb fb fb fb

Psikoterapi Islam bantu tangani isu kesihatan mental

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyampaikan ucapan pada Program Kesedaran Kesihatan Mental Bandar Tun Razak dengan tema "Suka Dalam Duka" di Dewan Serbaguna Alam Damai, Cheras. Foto- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Pendekatan psikoterapi Islam yang menekankan hubungan dengan Allah SWT serta pengukuhan emosi ketika berdepan tekanan hidup dilihat mampu membantu menangani isu kesihatan mental di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata agensi agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), masjid dan surau komited memberi bimbingan percuma kepada masyarakat.

“Khidmat itu meliputi kaunseling syarie serta terapi psikospiritual Islam bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika menghadiri Program Kesedaran Kesihatan Mental Bandar Tun Razak bertajuk ‘Suka Dalam Duka’ di ibu negara.

Datuk Dr. Mohd Na’im juga berkata JAKIM turut mewujudkan bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) di masjid dan surau bagi memastikan institusi itu memainkan peranan penting sebagai pusat rawatan psikospiritual.

“Gabungan rawatan fizikal, mental dan psikospiritual amat penting. Kita harap imam dan masjid dapat mengajak penduduk setempat memanfaatkan program sedia ada untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) telah menyalurkan sebanyak RM247,760 kepada Hospital Putrajaya pada Julai lalu bagi pembelian peralatan perubatan yang secara tidak langsung menyokong pemulihan mental pesakit.

Program berkenaan disertai 150 peserta daripada golongan B40, ibu tunggal, mualaf serta pelajar sekolah. Ia turut menyediakan saringan kesihatan mental dan menawarkan temu janji intervensi kaunseling lanjutan sehingga November ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN