
PUTRAJAYA, 18 Februari – Proses tawaran haji bagi musim 1447H/2026M, berjalan lancar dan telah selesai dengan kuota haji yang diperuntukkan telah diisi sepenuhnya.
- Proses tawaran selesai lebih awal hasil penambahbaikan dan peringatan awal kepada bakal jemaah.
- Kadar penangguhan haji turun ketara kepada 18 peratus berbanding 50 peratus musim lalu.
- Kira-kira 85,000 permohonan rayuan diterima, melebihi kuota tahunan 31,600 jemaah.
- Penerbangan jemaah bermula 18 April hingga 20 Mei 2026, dengan hari Wukuf pada 26 Mei 2026.
Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan, proses tersebut selesai lebih awal hasil penambahbaikan yang dilaksanakan serta peringatan awal supaya bakal jemaah membuat persediaan.
Usaha itu turut menyaksikan kadar penangguhan haji merekodkan penurunan ketara kepada 18 peratus berbanding 50 peratus pada musim haji lalu.
TH juga memaklumkan kira-kira 85,000 permohonan rayuan haji diterima bagi musim ini, lebih banyak berbanding kuota tahunan sebanyak 31,600 jemaah.
“Berdasarkan jumlah rayuan yang tinggi, maka permohonan rayuan haji akan ditutup bermula 1 Ramadan 1447H.
“Permohonan rayuan yang telah diterima sebelum tarikh ini kekal dalam sistem, dan sekiranya berlaku kekosongan akibat penangguhan atau pembatalan, pengisian akan dibuat berdasarkan senarai sedia ada mengikut merit serta kriteria yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula 18 April 2026, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei 2026, dengan hari Wukuf dijangka 26 Mei 2026.
Lembaga Tabung Haji memberi jaminan usaha berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran operasi haji musim ini.