
PUTRAJAYA, 16 Mac – Proses permohonan rayuan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin untuk menyertai semula parti itu dijangka tidak akan mengambil masa lama.
- Rayuan Khairy akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO; Mohamed Khaled Nordin dilantik Pengerusi Teknikal menilai proses.
- Pertemuan kedua pihak dinilai penuh harmoni dan memberi petunjuk baik kepada kelancaran proses.
- Rumah Bangsa dianggap inisiatif presiden; membuktikan Zahid Hamidi berjiwa besar, walaupun mengundang kritikan politik.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan, rayuan Khairy Jamaluddin akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah dilantik sebagai Pengerusi Teknikal bagi menilai proses itu.
“Saya lihat pertemuan semalam memberi petunjuk yang sangat baik kerana kedua-dua pihak dapat bertemu dalam suasana yang penuh harmoni.
“Saya yakin proses ini tidak akan mengambil masa yang panjang kerana ia merupakan idea daripada presiden untuk menubuhkan Rumah Bangsa bagi membawa kembali bekas ahli serta tokoh parti. Jadi saya tidak fikir soal masa akan menjadi masalah,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Forum Ilmuwan Malaysia MADANI yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.
Pelaksanaan ‘Rumah Bangsa’ membuktikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan tidak memandang sejarah lepas.
Walaupun idea pelaksanaan ‘Rumah Bangsa’ mendapat kritikan, beliau menganggap ia akan memberi cabaran dalam politik.