fb fb fb fb fb

Proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi satu keperluan

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir beramah mesra dengan barisan rektor universiti dari Turkiye dan Naib Canselor UUM / Foto UUM

ISTANBUL, 4 Mac – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, universiti di dalam sesebuah negara tidak lagi boleh berdiri sendiri dan perlu keluar untuk menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi di negara lain.

Katanya, langkah itu membolehkan institusi pendidikan tinggi mendapat idea baharu untuk membangunkan negara.

“Sekarang, terma universiti tidak lagi sesuai bagi sesetengah cendekiawan dan ia lebih tepat dinamakan multiversiti disebabkan arus globalisasi dan dunia menjadi tanpa sempadan turut membawa impak kepada bidang pendidikan tinggi.

“Universiti tidak lagi boleh berdiri dan berfikir secara sendirian selain perlu mencari kaedah baharu untuk proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi,” kata beliau di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lima buah universiti di Turkiye.

Menurut beliau, Malaysia dan Turkiye boleh mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin dan kini ia dikembangkan di dalam bidang pendidikan menerusi kerjasama UUM dengan Karabuk University, Ankara Yildrim Beyazit University, Dicle University, Gebze Technical University dan Mardin Artuklu University.

Mengulas lanjut, kerjasama Malaysia-Turkiye sepanjang beliau menjadi Menteri Luar sebelum ini menghasilkan impak yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Beliau mahu melihat hubungan di dalam bidang pendidikan tinggi menerusi MoU ini direalisasikan, supaya potensi kedua-dua negara dapat ditingkatkan lagi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD