fb fb fb fb fb

Promosi masakan Perlis di Amerika Syarikat

(Masakan Kurma Perlis, menu istimewa sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan
 Sambutan Hari Malaysia di Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro,Los Angeles
FOTO Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis)

LOS ANGELES, 7 Ogos- ‘Masakan Kurma Perlis’ menjadi menu istimewa yang akan disajikan sempena Sambutan Hari Kebangsaan hingga Sambutan Hari Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro yang terletak tidak jauh dari Disneyland akan menyajikan sajian istimewa berupa masakan kurma Perlis bagi tempoh 31 Ogos hingga 16 September 2023 ini.

Promosi Makanan Perlis tersebut dilancarkan secara simboliknya oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Bagi Pengasas Restoran Belacan Grill Malaysian Bistro, Kean P Tan, menu Kurma Daging Perlis merupakan satu tarikan bagi pengunjung tempatan di Los Angeles untuk merasa masakan Perlis sempena promosi kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Selain itu, menambat cita rasa rakyat Malaysia yang bermastautin di Amerika Syarikat di samping mengimbau tanah air tersayang dengan penuh patriotisme walau bermastautin di tempat yang jauh.

Promosi Makanan Perlis kali ini merupakan inisiatif secara kolaborasi oleh restoran berkenaan bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, Tourism Malaysia Los Angeles, MyUS Group of Companies dan Smart Leisure & Travels Sdn. Bhd.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia yang berada di luar negara akan sentiasa bersama-sama menghayati semangat cinta akan negara dengan meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia bertemakan ‘Malaysia Madani - Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ tidak lama lagi, tidak kira di mana sahaja mereka berada dan pada masa yang sama sentiasa mengekalkan prinsip jiwa patriotik.


(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan
Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merasmikan
Promosi Makanan Perlis di  Belacan Grill Malaysian Bistro, Los Angeles
Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis
)


(Belacan Grill Malaysian Bistro, Los Angeles)

Media Baharu