Projek tambah lorong PLUS Yong Peng Utara–Senai Utara, Kulai capai 46.44 peratus

Projek Pelebaran PLUS/ Foto FB Fazli Salleh

JOHOR, 11 Mac – Projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) jajaran Yong Peng Utara hingga Senai Utara, Kulai, Johor bernilai RM250 juta, kini mencapai 46.44 peratus, mendahului jadual ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek bermula 28 Jun 2024, dijangka siap sepenuhnya Jun tahun hadapan.
  • Naik taraf daripada empat kepada enam lorong untuk meningkatkan kapasiti trafik di koridor utama Johor.
  • Fasa satu melibatkan Kulai Sedenak sepanjang 33 kilometer, 14.51 km arah utara dan 18.515 km arah selatan.
  • Sempena Aidilfitri, jajaran 3 kilometer arah selatan ke persimpangan keluar Sedenak akan dibuka bagi melancarkan trafik.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek yang bermula pada 28 Jun 2024 itu, dijangka siap sepenuhnya Jun tahun hadapan.

Projek membabitkan naik taraf daripada empat kepada enam lorong sekali gus, meningkatkan kapasiti trafik di koridor utama Johor.

“Bagi fasa satu, ia melibatkan Kulai-Sedenak sepanjang 33 kilometer (KM) merangkumi 14.51 KM arah utara dan 18.515 KM lagi, selatan.

“Kerja-kerja pembinaan dan pelebaran jambatan, tanah, sambungan pembetung (culvert) turut dilaksanakan secara berfasa, manakala lorong ditutup secara berkala”, katanya menerusi kenyataan.

Sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, jajaran projek sepanjang 3 kilometer arah selatan ke persimpangan keluar Sedenak akan dibuka bagi melancarkan aliran trafik.